Sains Menulis Puisi

Puisi, ini satu lagi genre karya kreatif yang saya suka mahu ceburi tetapi sejak sekian lama, saya asyik berfikir, bagaimana mahu menulis puisi yang bagus? Apa sebenarnya definisi puisi yang baik?

  1. Adakah ia mengandungi perkataan bombastik; semakin tak faham semakin bagus?
  2. Atau puisi itu mesti menyentuh isu besar?
  3. Sebenarnya bagaimana mahu membaca puisi?

Soalan-soalan ini saya bawa ke kelas Sains Menulis Puisi bersama Dr Fahd Razy di Rumah PENA, 17 Ogos 2019 lalu. Setiap soalan itu, terjawab satu demi satu sehingga selesai sesi pada jam 5.00 petang. Alhamdulillah. Amazing!

p_20190817_085407_p3731795421076543983.jpg

Pertanyaan pertama, mengenai perkataan bombastik. Tanpa saya bertanya, Dr Fahd sudahpun menjawabnya. Rupanya ini juga pertanyaannya sewaktu belajar dan menggali teknik menulis puisi. Juga, beliau pernah menulis puisi yang penuh perkataan bombastik suatu masa dahulu.

Mudah sahaja tip yang dikongsi.

Perkataan Bombastik

– Tidak perlu banyak sangat perkataan bombastik. Maksimum, dua sahaja dalam setiap puisi.

– Sebabnya, apabila ada terlalu banyak perkataan bombastik akan mengganggu momentum pembaca. Pembaca terpaksa berhenti dan buka kamus semata-mata untuk fahamkan puisi kita.

Betul, memang bagus apabila kita berjaya menambahkan perkataan baru kepada pembaca, tetapi apabila seluruh puisi terpaksa dibaca dengan kamus, lebih ramai yang akan beralih kepada puisi lain. Terbiarlah puisi kita yang penuh perkataan sedap itu, dipandang sepi sahaja.

– Hal ini membawa kepada pesanan guru saya, Cikpuan Azzah Abdul Rahman. Apa yang dimaksudkan dengan ayat yang sedap dibaca? Perkara paling penting adalah, ayat yang boleh difahami. Ya, tidak ada apa-apa yang indah untuk sesuatu yang gagal difahami.

Isu Besar

Soalan kedua, isu besar. Benarkah puisi yang bagus hanya perlu menyentuh isu besar? Bermakna, saya perlu baca (tahu) banyak dan hadam hal sejarah, agama dan politik baru saya boleh tulis puisi yang bagus?

– Tidak semestinya, tetapi tidak dinafikan banyak puisi yang menyentuh isu besar adalah puisi-puisi yang bagus.

– Ada sahaja puisi bagus tulisan T. Alias Taib dan SN Zurinah Hassan yang menyentuh seputar hal sekeliling mereka. SN Zurinah Hassan sendiri sering menulis puisi untuk suaminya.

p_20190817_121920_p619725845074297922.jpg

p_20190817_152304_p2614773412062023576.jpg

Membaca Puisi

Ini soalan paling penting. Bagaimana mahu membaca puisi? Saya pernah tanyakan hal ini kepada Puan Zaharahanum lewat FB Messenger. Waktu itu, saya lebih mahu tahu mengenai travelog.

Katanya, Dewan Sastera tak mahu cerpen/ puisi yang hanya merakam perjalanan, tetapi lebih mahu tahu apa yang diperoleh daripada perjalanan itu?

Dalam kelas, Dr Fahd berkongsi mengenai ciri-ciri puisi yang bagus.

– Tidak sekadar bermain dengan perkataan/ bahasa.

– Ada cerita dan mesej kepada pembaca. Citra (imej)nya disusun dengan baik dan seragam, supaya pembaca dapat mengikuti dan masuk ke dalam ‘dunia’ yang diceritakan.

– Ekonomi dengan perkataan. Puisi itu karya kreatif yang mencintai bahasa tetapi sangat kejam dengan teks. Yang ini, macam cerpen juga. Ekonomi dengan perkataan tetapi puisi jauh lebih jimat kerana puisi lebih menghampiri seni visual/ menggambar berbanding cerpen yang diletakkan dalam kategori prosa.

p_20190817_140301_p4671957710955312319.jpg

Satu perkara lagi yang saya sangat suka dengan perkongsian Dr Fahd Razy, mengenai istilah. Tidak perlu terlalu terikat dengan istilah. Ada perkara yang kita hanya perlu ambil tahu sebagai pengetahuan, dan tidak perlu berlebih-lebihan mengikat diri. Lebih baik, fokus kepada hal yang lebih penting iaitu membaca dan menulis puisi yang terbaik.

Oh ya, untuk hadir kelas ini, peserta perlu hantar karya lebih awal untuk dibedah. Alhamdulillah, Fahd suka puisi saya yang polos itu (sekali baca sudah boleh faham) itu. Karya itu sudah selamat dihantar kepada penyelenggara Antologi Puisi untuk OKU. Rezeki, karya itu dilamar sebelum kelas berakhir.

Mengapa saya bersibuk-sibuk mahu belajar pasal puisi?
1. Sebagai ghostwriter dan penulis, belajar benda baru seperti ini memberi nilai tambah kepada saya. Ia boleh jadi bahan atau faktor tambahan dalam menulis karya kreatif lain. Contohnya, menggabungkan puisi dalam naskhah kisah hidup; atau puisi di awalan bab novel. Ini menarik.

2. Saya mahu belajar cara yang betul untuk membaca puisi. Alhamdulillah, saya dapat guru yang betul.

3. Saya mahu menulis puisi, belajar menjadi lebih hemat dalam memilih perkataan dan diksi yang seterusnya dapat diaplikasikan dalam menulis buku bukan fiksyen mahupun fiksyen. Kali terakhir menulis puisi adalah pada 2010.

Sebelum mengakhirkan entri kali ini, suka saya mahu berkongsi definisi puisi itu sendiri (menggabungkan pernyataan oleh Samuel Taylor, HB Jassin dan SN Muhammad Hj Salleh- dipetik daripada buku Sains Menulis Puisi oleh Dr Fahd Razy);

Puisi adalah himpunan kata-kata terbaik dalam susunan terbaik yang mengandungi kebijaksanaan fikiran dan tanggapan penulisnya melalui pengucapan dengan perasaan tentang sesuatu perkara yang pada akhirnya membijaksanakan pembacanya.

Suka entri saya? Sudi-sudikan berkongsi dan follow blog ini.
Terima kasih.

4 thoughts on “Sains Menulis Puisi

Leave a comment