Penjelajah Grand Slam Termuda – Marin Minamiya

Marin Minamiya berjaya sampai ke puncak Gunung Everest pada usia 19 tahun.

Semasa 20 tahun, namanya tercatat dalam Guinnes World Record sebagai penjelajah paling muda yang melengkapkan misi Explorers Grand Slam.

Bergelar Penjelajah Grand Slam adalah impian para pengembara dan pendaki. Bagi mendapatkannya, mereka perlu mendaki gunung tertinggi dalam tujuh benua yang digelar The Seven Summits, juga meneroka Kutub Utara dan Kutub Selatan. (Saya menganga apabila tahu fakta ini.)

Oh ya, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin juga salah seorang Penjelajah Grand Slam.

Sejak kecil, Marin sudah merantau ke banyak negara disebabkan pekerjaan bapanya. Boleh dikatakan dia berpindah sekolah dan negara setiap empat tahun. Jangan tak tahu, Marin pernah tadika di Johor Bahru!

IMG20190921102011

Akibat terlalu sering berpindah negara, dia akhirnya keliru. Siapa dia? Apa identiti Marin Minamiya yang sebenarnya? Nama sahaja Jepun, tetapi bagaimana dia boleh mendongak dan berbangga sebagai anak negara itu?

Pada usia belasan tahun, dia bersekolah di Shanghai, dan Hong Kong. Kota yang penuh dengan bangunan tinggi, menjauhkan Marin daripada keseronokan dunia remaja. Dia lebih sering bersendiri, dengan kelas dan kerja sekolah yang sepenuhnya dilakukan secara digital. Dengan bangunan tinggi yang menjadi penghalang, rakan-rakan selalunya dihubungi lewat chat video.

Pulang ke rumah, tidak ada sesiapa menanti. Ibu sering sibuk, juga ayah yang jarang pulang. Lebih menambah sulit, Marin anak tunggal.

Di sekolah, tidak rasa seperti sekolah. Rumah pula, tidak ada keharmonian yang membahagiakan seorang Marin.

Tuhan Maha Baik. Pada waktu inilah, Marin menemukan keajaiban gunung. Menjadi anak yang tidak ada keyakinan diri, dia akhirnya berjumpa daya tolakan yang padu. Siapalah yang menyangka, jiwanya kembali hidup ketika dia merancang aktiviti pendakian bersama rakan-rakan yang sama minat.

Pada usia 13 tahun, dia terlibat dalam aktiviti kebajikan dan mengembara ke base camp di Anapurna. Itulah kali pertama Marin melihat Everest yang indah, bagai memanggil-manggil untuk didaki.

Marin memberitahu dirinya, “Jika dia boleh belajar dan menjadi lebih kuat selepas mendaki gunung kecil di Hong Kong, tentulah terlalu banyak yang akan dia peroleh apabila mendaki puncak tertinggi dunia itu. Pasti jatidiri Marin Minamiya akan tumbuh lebih kukuh selepas menawan Everest.”

Tidak menunggu lama, puncak Everest langsung menjadi impiannya. Namun, ketika dia menyangka semuanya sudah tenang dan berjalan dengan baik, cabaran yang lebih besar datang dan menggegarkan jiwa muda Marin Minamiya. Kekuatannya kembali goyah apabila orang tuanya bercerai, pada usia Marin 17 tahun.

Mendaki Gunung Halimunan

17 tahun, Marin Minamiya sudah ada rancangan yang baik untuk masa depannya. Dia tahu mahu masuk universiti mana dan jurusan apa yang mahu diambil. Namun, apabila orang tuanya memutuskan bercerai pada waktu itu, Marin dilanda situasi emosi yang sangat berat.

Dia hilang punca lagi. Ke kanan tak betul, kiri juga salah. Tidak tahu ke mana hendak pergi, Marin kembali rasa dia bukan sebahagian daripada apa-apa mahupun sesiapa.

Melihatkan Marin tidak stabil, ayahnya menghantar dia pulang ke Jepun pada tahun terakhir persekolahan. Namun, lelaki itu tetap tinggal di Hong Kong sementara ibu Marin duduk di kawasan lain di Jepun.

Tinggallah Marin dengan gaya hidup baharu, sendirian menguruskan diri dan merancang masa depannya.

Pada suatu malam, dia duduk dan berfikir. Apa yang dia lakukan di situ? Mengenang kembali impiannya empat tahun lalu, ketika dia mula menanam impian hendak mendaki puncak tertinggi dunia. Lalu, dia memberitahu diri, sudah masanya impian itu dikejar. Waktunya sudah sampai, jika bukan sekarang, bila lagi?

Maka, projek Everest dimulakan dan ketika perangkaan sedang dibuat, Marin menemukan TIGA gunung halimunan super besar yang perlu dia daki terlebih dahulu. Gunung yang tidak terlihat, tetapi ia jauh lebih sukar untuk dipanjat.

Gunung pertama, sumber kewangan. Bagaimana dia mahu membiaya projek besar itu? Bagi mendaki Everest, dia perlukan belanja sebanyak USD10,000 untuk segala persediaan, latihan dan peralatan mendaki.

Cara mana dia boleh dapatkan wang bagi membolehkan impian itu dicapai? Dengan kapasitinya sekarang, jangan kata capai, mendekatinya jauh sekali.

Sumber paling dekat yang dia miliki, sang ayah. Disampaikan hajatnya yang super besar dengan harapan nan tinggi. Ayah mana yang tidak bangga apabila anak gadisnya ada impian sehebat Marin?

Dia menyokong impian itu, tetapi dengan ayat paling jelas lelaki itu memberitahu, “Impianmu bagus, tetapi aku tidak akan membiayainya.”

Ah, adakah impian Marin sudah terkubur sejak dia menghajatinya di Base Camp Anapurna empat tahun lalu?

#MarinMinamiya #ghostwriter #iamatranscriber #zafigoX #womentraveller

70891977_10218247092641616_7516610797166919680_o

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s