Penjelajah Grand Slam Termuda – Marin Minamiya #3

Bangkit Semula

Dalam mana-mana episod hidup, akan ada fasa jatuh dan bangun. Selepas tersungkur, hero akan bangkit lagi. Tak kisahlah dengan kudrat sendiri mahupun bantuan orang lain.

Mengikut teori The Hero’s Journey, sang hero bangkit lagi dan kali ini menjadi lebih gagah. Mengapa? Sebab dia tidak hanya bangun secara fizikal, bahkan spritual juga. Dan sebab itu juga dia menjadi lebih gagah berbanding sebelumnya.

Itu jugalah yang berlaku pada Marin Minamiya. Dia akhirnya menemukan peluang untuk mendongak sekali lagi. Pada waktu dia berada dalam gua paling gelap itu, seorang rakan datang dan menyuluh haluan. Bukan itu sahaja, si teman turut membawa tawaran yang sangat bermakna buat Marin.

Dia datang dengan hati yang besar, mengetuk pintu dan berkata, “Hei Marin, saya bawa makanan. Tolonglah bangun, mari kita makan sama-sama. Kita hadapi semua ini bersama-sama.”

Waktu ini, sekali lagi airmata saya jatuh. Tuhan Maha Baik, Dia tak pernah biarkan hamba-Nya sendiri. Marin juga. Beruntungnya dia, masih ada yang sayang.

Rakan itu sentiasa menggalakkan marin untuk terus berjuang. Paling hebat, dia memberi Marin semangat untuk hidup. Kini, Marin ada pegangan baharu untuk dia teruskan langkah.

Prinsipnya sekarang, “Hari ini adalah Hari Pertama, bukan hanya Satu Hari.” (It is Day One, not just one day)

Menoleh ke belakang, Marin merenung kembali perjalanannya. Suara-suara yang memberitahu dia tidak akan mampu itu terngiang-ngiang lagi.

“Nampak, kan aku dah kata kau tak boleh buat?”
“Kan dah cakap, elok kau duduk di rumah sahaja.”

Memang benar. Dari satu sudut, Marin yang berusia 17 tahun itu bermula daripada kosong. Betul-betul kosong, termasuklah angka dalam akaun bank, skil memanjat gunung, peralatan mendaki, apatah lagi jaringan kenalan dalam dunia penjelajahan. Dia hanya ada kawan-kawan dari sekolah tinggi.

Lebih memburukkan keadaan, Marin jatuh dari ketinggian 250 meter. Sepertilah angka kosong tadi berundur ke belakang, langsung menjadi negatif. Sekarang, dia seperti kembali ke titik sifar sekali lagi.

Namun, Marin memilih untuk fokuskan pandangan ke hadapan. Dia bukan lagi Marin yang baru hendak bermula itu. Dia tidak ‘kosong’ seperti waktu dia bermula dahulu. Semangatnya juga tidak kecil dan itu menjadi penguat untuk dia terus melangkah.

Marin sedar dan percaya, dia bukan sahaja mahu mendaki Gunung Everest, dia juga perlu menawan tiga gunung halimunan di dalam hatinya itu; situasi kewangan, cercaan masyarakat dan isu keluarga yang menyebabkan dia mendepani kemurungan.

Meneruskan perjalanan, akhirnya Marin mula mendapat perhatian beberapa syarikat besar. Alumni universitinya yang juga pengasas Uniqlo, Tadashi Yanai menyatakan hasrat mahu menaja Marin dan dia dilantik sebagai duta wanita global pertama jenama berkenaan.

Penajaan itu menjadi daya tolak yang besar untuk Marin melangkah lebih jauh. Semangatnya menjulang.

Tidak menoleh lagi, Marin semakin rancak menawan beberapa puncak tertinggi dunia dalam usaha mencapai misi Seven Summit-nya sendiri.

Dimulakan dengan Gunung Kilimanjaro di Benua Afrika, Marin menawan puncak Kosciuszko di Australia dan kemudiannya Gunung Vinson di Antartika.

Sudah sampai di Antartika Marin bertanya sendiri, “Adakah selepas ini dia akan sampai lagi ke sini?”

Memandangkan kebarangkalian jawapan tidak adalah sangat tinggi, dia mula berencana. Penjelajahan kali ini harus dimanfaatkan sepenuhnya!

Maka, selepas turun dari Gunung Vinson dan kembali ke base camp, Marin memutuskan mahu ke Kutub Selatan pula. Tetapi, bagaimana? Dia tidak tahu caranya.

Apabila tidak tahu, solusinya adalah mencari guru dan belajar. Maka, Marin berkelana di sana dan belajar daripada pasukan yang ditemukan di base camp itu, yang juga punya rencana untuk menjelajah ke Kutub Selatan.

Marin juga meminjam peralatan daripada pasukan berkenaan dan ikut sesi latihan bersama mereka sebelum memulakan trip ke kutub.

Sesudah misi ke Kutub Selatan direalisasikan, Marin ada hasrat baharu lagi. Nampaknya dia perlu ke Kutub Utara juga!

Gunung Licin!

Selepas trip ke Kutub Selatan, Marin mendaki puncak tertinggi di Australasia pula. Namanya Carstensz Pyramid atau Puncak Jaya yang setinggih 4,884 meter, lebih tinggi 800 meter daripada Kinabalu. Gunung ini juga pernah dinamakan Puntjak Soekarno.

Kata Marin, gunung ini seperti Kinabalu juga, tetapi ia jauh lebih mencabar. Rupanya seperti struktur vertikal yang tersembul dari tanah. Pada satu-satu masa, gunung itu perlu direntas dengan cara terbalik dari puncak ke puncak.
Bertambah-tambah cabarannya apabila waktu mendaki itu, hujan turun dan cuaca sejuk. Mendaki terbalik dan tergantung, hujan, dan sejuk pula, memang umph!

Episod mahal dalam catatan kembara Marin pastinya, dan secara langsung, pengalaman dan kemahiran bertambah berkali-kali ganda.

Selesai dengan Puncak Jaya, Marin ke Eropah pula. Memburu Gunung Elbrus di Rusia yang dikatakan paling senang untuk dipanjat di antara ketujuh-tujuh puncak tertinggi dunia.

Namun, yang mudah itu adalah semasa musim panas. Marin ke gunung itu semasa musim sejuk, sebagai salah satu siri latihan menuju Everest.

Oh, segala sangkaannya meleset. Misi ini menjadi luar biasa sukar, langsung tidak terjangka.

Marin bercuti seminggu untuk mendaki Elbrus. Sepanjang tempoh itu, salji yang lebat dan angin kuat menghentam gunung hari demi hari.

Apabila salji dan angin bersatu, yang terbentuk adalah ais. Maka, laluan yang dijangka mudah menjadi sangat sukar. Yang menanti Marin adalah laluan berais yang licin, bagai tempat luncur ais yang luas. Di situ juga, malangnya dua pendaki Rusia jatuh dan mati.

Enam hari berlalu tanpa ada peluang untuk Marin mendaki ke puncak. Hanya pada hari dia seharusnya pulang ke Jepun, barulah waktunya tiba. Maka, Marin dan rakannya memulakan misi mereka pada tengah malam. Sepanjang malam mereka mendaki, akhirnya Marin berjaya menawan puncak Elbrus pada 9 pagi.

Mengejar masa, Marin turun semula dari Elbrus dan tiba di kem pada pukul 12.00 tengah hari. Tiga petang hari yang sama, dia tiba di hotel dan berkejar untuk penerbangannya pulang ke Jepun pukul 7.00 petang. Padat! Dan gila!

Dua hari berehat di Jepun, Everest memanggil.

#MarinMinamiya #ghostwriter #zafigoX #womentraveller #iamatranscriber

72152531_10218298654410628_2733919878460211200_o

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s