Penjelajah Grand Slam Termuda – Marin Minamiya #4

Menunaikan Janji

Harinya sudah tiba. Waktu untuk Marin melunaskan impiannya mendaki Everest akhirnya sampai. Pada hari yang dijanjikan, dia terbang ke Nepal dan bertemu rakan-rakan yang bakal menjadi temannya mendaki nanti. 14 rakan baru, yang semuanya baru ditemui kali pertama di Kathmandu.

Bersama 14 orang ini, mereka sama-sama berjuang selama 60 hari di Everest. 14 orang yang memegang impian serupa Marin, barangkali juga mimpi mereka pernah ditidakkan oleh orang lain seperti Marin juga.

Mengapa 60 hari? Sebab untuk mendaki Everest, ada peringkatnya tersendiri. Selepas tiba di base camp, mereka ke Kem 1 dan kemudian turun semula ke base camp. Dari base camp, mereka bergerak lagi ke Kem 1, Kem 2 dan kembali ke base camp.

Seterusnya base camp – Kem 1 – Kem 2 – Kem 3 dan kembali lagi ke base camp. Selepas itu barulah base camp – Kem 1 – Kem 2 – Kem 3 – Kem 4 dan Puncak Everest. Sepertilah mereka perlu mendaki gunung itu berkali-kali sebelum berjaya sampai ke puncak.

Indah. Perasaan mencapai impian indah dan berdiri di puncak Everest itu menjadikan keindahannya berganda. Melihat pemandangan ketika berada di situ, pesonanya berkali ganda luar biasa berbanding sewaktu Marin melihatnya di Nepal tujuh tahun lalu. Terlalu hebat.

Lebih menambah rasa, sepanjang pendakian itu tidak sekalipun Marin dapat mengintai puncak Everest. Melepasi setiap kem, dia langsung tidak dapat melihat rupa puncak yang dikejarnya itu. Ini disebabkan dia dan kumpulannya mendaki dari sebelah selatan gunung itu. Dari sisi itu, mereka tidak dapat melihat puncaknya dari bawah kerana ia menghala kearah lain (twisted peak).

Sehinggalah langkah Marin melepasi Kem 4 ketika matahari sedang terbit, perlahan-lahan puncak yang menjadi impian muncul dari ‘persembunyian’ dan tersergam indah di hadapan mata. Langsung keyakinan membumbung tinggi, cita-citanya akan tercapai! Marin akan berdiri di puncak Everest!

Perasaan yang tidak dapat digambarkan memenuhkan hati Marin. Sebak, riang, terpesona, semuanya bercampur-campur dan kesemuanya dizahirkan melalui air mata yang tidak segan silu mengalir dari tubir mata.

Melihat sinar mentari yang perlahan-lahan mencerahkan hari, langit yang gelap seakan mempamerkan warna pelangi. Merah, jingga, kuning, hijau, biru dan ungu yang seperti mewakili setiap langkah Marin sehingga dia benar-benar berdiri di puncak Everest.

Siapa kata Marin memalukan bangsa? Siapa kata dia tak boleh buat? Dia boleh. Dia Marin Minamiya yang berjaya mendaki tiga gunung halimunan dalam hatinya, dan sekarang, dia berjaya menawan puncak gunung setinggi 8848 meter di banjaran Himalaya!

Marin membuktikan dia boleh melakukannya, dan saya percaya semua orang juga ada perjuangan yang sama – memanjat satu demi satu gunung yang tidak kelihatan dalam hidup kita, untuk hasrat yang sama; mencapai impian. Demi menunaikan janji terhadap diri sendiri.

Namun, cerita perjuangan Marin tidak berhenti di situ. Ada satu puncak lagi yang dia harus tawan. Puncak Gunung Denali di Alaska sedang menanti jejak Marin.

Denali yang Penuh Cabaran

Selepas pulang dari Everest dan berehat selama 10 hari, Marin terbang ke Alaska, Amerika Utara dan bersedia mendaki lagi. Kali ini, puncak Gunung Denali yang tingginya melebihi 6000m menanti untuk ditawan. Sasarannya pasti tidak mudah dan ini adalah puncak terakhir sebelum Marin menyudahkan misi The Seven Summits-nya.

Denali. Sebelum ini namanya adalah Gunung McKinley, dan Obama menukarnya kepada Denali. Marin menghabiskan 30 hari di gunung ini untuk mendakinya kali pertama.

Mengapa? Cabarannya sangat, sangat besar. Sewaktu ekspedisi itu, angin kuat dan ribut melanda ketika mereka sudah di Kem 4. Marin terpaksa duduk di dalam khemah yang saban hari dihentam angin kuat.

Setiap malam dirasakan terlalu lama. Entah bila dia terlena, Marin tidak tahu. Kalaupun tertidur, tidak lama kerana angin yang garang menghentam khemah dan batuan gunung pada kelajuan 60km/jam membuatkan dia terjaga, berawas dalam ketakutan yang tidak bertepi.

Bunyi besi pencacak yang menahan khemah terangkat sedikit demi sedikit seringkali membuatkan dia menggigil kuat. Bila-bila masa sahaja khemahnya boleh melayang, menerbangkan tubuh Marin di dalamnya.

Dia sangat takut. Ia jauh lebih menakutkan berbanding jatuh dari gunung sebelum ini. Dia menjadi lebih takut selepas mengetahui satu daripada tiga khemah pasukan ekspedisinya diterbangkan angin.

Ah, beginikah pengakhirannya?
Sampai sini sahajakah hidup saya?

Tidak berfikir lama, Marin mengirim mesej teks kepada ayahnya. Meminta maaf dan memberitahu itu kali terakhir dia akan mengucapkan ‘Saya sayang ayah.’

Saban malam, tidak berhenti-henti dia berdoa di dalam hati, berharap itu bukan akhirnya. Meminta supaya dia tidak perlu mati bersendirian di situ.

“Oh Tuhan, kasihanilah saya. Jika saya sudah melakukan apa-apa yang jahat dan buruk, ampunkan saya!”

Akhirnya, selepas sembilan hari ribut berhenti. Mereka terselamat, tetapi cabaran baru menanti. Tidak ada makanan. Semuanya sudah habis dimakan.

Adakah mereka selamat hanya untuk mati kebuluran di tanah tinggi itu?

Tidak. Tidak semudah itu untuk mereka mengalah.

Bersama-sama, mereka menggali salji dan menemukan barang tinggalan peneroka-peneroka yang sudah ‘pergi’. Jumpalah paket makanan yang sudah bertahun-tahun melepasi tarikh luput. Atas keyakinan ia tertimbus di kawasan sejuk dan memandangkan situasi sedang darurat, mereka makan juga sebagai sumber tenaga untuk meneruskan pendakian.

Pada ketinggian 6000m dengan keadaan mereka yang baru sahaja melepasi ribut selama sembilan hari, mereka mengambil lebih tiga jam untuk mendaki dari Kem 4 menuju ke puncak. Namun, 100 meter menghampiri puncak, mereka semua sudah benar-benar kehabisan tenaga. Tanpa bekalan makanan, mereka berbincang dan memutuskan untuk berhenti dan turun semula.

—–
Buat yang terlepas mengikuti siri ini dari awal, klik pautan berikut untuk membaca:
1. http://bit.ly/MarinMinamiya1
2. http://bit.ly/MarinMinamiya2
3. http://bit.ly/MarinMinamiya3

Selamat membaca!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s