REVIU EPISOD 1: FIND ME IN YOUR MEMORY

Episod 1, bahagian 1: Si Gentle Tyrant, Lee Jeonghoon

Reviu/recap

Cerita bermula gagah dengan babak di studio, ketika pasukan penyiaran sedang bersiap-siap untuk sebuah rancangan siaran langsung berita. Sebaik lampu on air menyala, Lee Jeunghoon (LJH) terus melaporkan berita mengenai kebakaran di sebuah pasar raya.

Ketika laporan wartawan lokasi disiarkan, konflik pertama berlaku apabila teleprompter (telepandu) rosak. Ini situasi kritikal untuk sebuah rancangan siaran langsung! Namun, ketika pasukan di bilik berita kalut, LJH terlihat tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Ketika gilirannya untuk kembali on air tiba, LJH melaporkan berita dengan professional. Matanya terus dipakukan pada skrin telepandu sepertilah dia sedang membaca skrip dari situ. Skripnya panjang dan ia membuatkan saya tertarik. Dia ingat? Whoaaa

Episod pertama, pastilah ada cerita latar supaya penonton dapat kenal heronya. Bahagian ini dipaparkan melalui siri flashback antara babak di studio dan pada saya, ia disusun dengan baik.

Contohnya, sewaktu menanti laporan wartawan lokasi selesai, pen di tangan LJH terjatuh dan dari situ ia membawa kepada bahagian memorinya bersama ibu yang juga terkait dengan pen berkenaan.

Watak LJH kecil juga ditunjukkan melalui memori yang diingatinya ketika dia mula ditemubual oleh seorang penyelidik dan sesi itu turut disertai oleh anak lelakinya. Cerita LJH dirakam dan saya fikir, ini faktor penting yang membuatkan dia tidak bermasalah untuk berada di hadapan skrin sebagai pembaca berita.  

LJH ditanya mengenai memori paling lama yang diingati. Tanpa berlengah, LJH bercerita berkenaan lori bomba dan skrin turut memfokuskan pada lukisan dan tulisan di papan putih di belakangnya. Sepertilah cerita itu sudah pernah disebut sebelumnya dan ada banyak catatan lain memenuhi papan putih.

Kekuatan ingatan LJH ditunjukkan apabila dia berkongsi mengenai fakta yang dibaca dalam akhbar pada tarikh dia mula-mula ingat semua perkara yang berlaku dalam hidupnya.

Dipaparkan juga sisi bijaksana dan cekap LJH ketika Wartawan Jo (JIK) terlihat muram. LJH selamba meneka bakal tetamunya di studio untuk minggu itu, Pengerusi Oh Taek Won tidak mahu hadir. Ini refleks kepada laporan kebakaran di cawangan kedai Kumpulan Hwarang yang dimiliki pengerusi terbabit.

Ternyata, mereka cemas kerana risau LJH yang terkenal mencari kesilapan dan kelemahan setiap tetamunya akan membangkitkan hal malang itu dalam berita live nanti. Sekalipun LJH memberitahu dia tidak akan menyebutkan hal itu, tidak ada yang percaya.

Kemudian, JIK mengunjukkan fail berisi maklumat tetamu pada minggu seterusnya iaitu pelakon kontroversi Yeo Ha Jin (YHJ). LJH mempertikaikan hal itu, dia tidak bersetuju apabila berita digunakan untuk mempromosi filem dan mahu tetamu ditukar. JIK memaklumkan yang perkara itu datang daripada pihak atasan. Rating factor, of course.

Pulang ke rumah, ada tetamu di rumah LJH. Rakan di bilik temubual semasa dia kecil itu diperkenalkan sebagai Tae Eun (YTE) dan lelaki itu mempersoalkan ketidakhadiran LJH untuk temu janji di klinik. Nampaknya LJH sudah menerima keadaan dirinya dan bersedia untuk hidup begitu sampai bila-bila.

Waktu ini barulah disebutkan bahawa lelaki yang menemubual LJH sejak kecil ialah seorang professor di universiti. Saintis dan dia mengkaji situasi kesihatan mental LJH dan YTE mengikut jejak ayahnya. 

LJH juga mula membuat kajian mengenai YHJ yang terkenal sebagai trend setter namun sentiasa dihujani kontroversi dan dia tidak suka fakta itu.

Watak lain iaitu Yeo Ha Kyung (YHK) dimunculkan sebagai pengurus YHJ dan dia sering memarahi kakaknya itu yang suka berperangai bukan-bukan sehingga memungkinkan semua kontroversi itu timbul.

Babak di studio sekali lagi menarik perhatian saya. Sesi LJH menemubual CEO Hwarang sangat menarik. Ketika semua kru bilik berita risau dia akan menyentuh isu kebakaran kedai, ternyata ia tidak berlaku. CEO sudah terlebih dahulu memintas hal itu dengan meminta maaf.

Disangka sudah lega, CEO yang baru menang anugerah bisnes itu terkejut apabila LJH mendedahkan hal lain yang jauh lebih sensitif – CEO itu sudah mendera setiausahanya secara fizikal dan verbal. Watching the scene, I am hooked to his character. What a badass anchor!


Plot / jalan cerita

Sejak babak intro, saya sudah terpaku pada skrin. Dimulakan di studio berita, sinonim dengan watak utama drama ialah seorang pembaca berita. Ketika LJH menyebutkan naratif yang digunakan ketika sesi imbauan memorinya bermula, saya semakin tertarik.

“Teori mengenai masa itu sudah tetap. Ia tidak boleh berpatah balik, dan hanya maju ke hadapan. Satu-satunya cara untuk kembali ke masa lalu adalah melalui memori kita.”

Lee Jeunghoon

Diperhatikan, terdapat beberapa simbol/item yang digunakan sebagai cue dalam mengalihkan babak. Contohnya, pen (babak di studio dan flashback momen dengan ibu). Kemudian, salji (babak daripada saat bersama ibu, terus kepada peristiwa ngeri LJH melihat seorang wanita jatuh dari bangunan pada sebuah malam dingin dan bersalji).

Momen gembira dan sedih diselang-selikan pada setiap ingatan dan ia kembali kepada ayat yang dituturkan LJH kecil, “I don’t only remember the good things.”

YTE dilihat mengikut jejak ayahnya, mendalami bidang berkaitan psikologi dan dia menjadi doktor neuropsikiatri.

Neuropsikologi ialah cabang psikologi yang menfokuskan kepada bagaimana otak dan sistem saraf mempengaruhi kognisi dan perangai seseorang. Kognisi ialah proses pemikiran yang melibatkan keupayaan mengingat, menaakul, menganalisis dan menyelesaikan masalah.

Episod 1, bahagian 2: Pertemuan pertama Lee Jeonghoon-Yeo Ha Jin

Reviu/recap

Bahagian kedua untuk episod pertama ini akhirnya membawa kita untuk menelusuri kisah LJH bersama cinta pertamanya, Seoyeon (SY). Salji yang turun membawa ingatan LJH kembali terhadap SY.

Mengingati waktu dia menemui SY yang terbujur kaku berlumuran darah dalam salji lebat, saat pertama kali dia berkenalan dengan SY, dengan kasut merah dan langkahnya sebagai seorang ballerina. LJH masih dan akan sentiasa mengingatinya. Dan salji yang turun seumpama mimpi ngeri buat dirinya.

Watak YJH diperkenalkan secara lebih mendalam dalam bahagian kedua ini. Babak di mana YJH berhadapan dengan Ko Yura yang tidak menyukainya ketika penggambaran drama memperlihatkan sisi matang dirinya. YJH bukanlah watak tipikal seorang aktres.

Meskipun YHJ seorang yang jujur dan telus (babak dia menegur pakaian Ko Yura yang tidak sepadan dengan ton kulitnya), dia masih mengekalkan sikap profesional yang tidak biadab dan menghormati pelakon yang lebih senior. Malah YHJ masih mampu untuk tenang-tenang sahaja walaupun dilayan dengan teruk oleh Ko Yura.

Babak seterusnya memperkenalkan kita kepada Prof Yoo, iaitu doktor yang bertanggungjawab menjaga LJH, dan merupakan seorang pensyarah universiti. Dia juga adalah bapa kepada YTE.

Syarahannya memberi gambaran mengenai penyakit hyperthymesia, dan ia sebenarnya adalah petunjuk kepada keadaan yang dialami oleh LJH. Dalam hal ini, Prof Yoo dilihat masih memegang etikanya sebagai seorang doktor. Dia menjaga kerahsiaan LJH sebagai pesakitnya yang ditunjukkan melalui babak di mana ada pelajar bertanya mengenai individu H (iaitu LJH) yang menjadi subjek utama bagi tesisnya.

Babak selanjutnya kembali kepada YHJ yang harus membuat persediaan sebelum ditemuramah oleh Jeonghoon dalam rancangan beritanya. YHK menunjukkan klip video kepada YHJ di mana dalam rancangan tersebut, Ko Yura telah kehilangan kata-kata apabila berhadapan dengan soalan daripada LJH.

Sebaliknya, YHJ langsung tidak melihat LJH sebagai seorang pembaca berita yang menggerunkan, tetapi seseorang yang cukup menawan hati. Dia begitu terpesona dengan gaya LJH dalam rancangan yang dikendalikannya.

Malam itu, YHJ hadir ke stesen HBN dan berada di bilik menunggu. Bagi mengurangkan rasa gemuruh, dia meminta agar kopinya dicampurkan dengan alkohol (tanpa kebenaran adiknya). Dalam waktu yang sama, LJH turut tiba ke bilik tersebut dan akhirnya mereka bertemu buat kali pertama.

Sikap jujur YHJ (memuji LJH dan mencadangkan agar tali lehernya ditukar) benar-benar membuatkan lelaki itu terkasima. Sehinggalah LJH menganggap gadis itu sebagai seorang yang gila setelah terminum kopi bercampur alkohol milik YHJ. Ia adalah pertemuan serba tidak kena antara kedua-duanya walaupun nyata YHJ kelihatan terpesona dengan LJH.

Sesi temuramah bersama YHJ berjalan lancar sehinggalah LJH mengeluarkan soalan yang bersifat menyerang peribadi YHJ. Terpaku dengan soalan tersebut, dan cuba untuk menjawab mengikut apa yang muncul di fikirannya.

“Saya cuma mahu hidup semudah pengiraan sehingga 5 atau 6 sahaja”

Dan, kata-kata yang dikeluarkan YHJ telah membawa memori LJH kembali kepada cinta pertamanya, iaitu SY. LJH terdiam dan tenggelam dalam memorinya. Dan YHJ tanpa teragak-agak cuba untuk memecahkan lamunan LHJ. Dia tersedar dan menyentuh tangan YHJ buat pertama kalinya. Mereka saling bertatapan dan hanya emosi memenuhi ruang studio.

Plot / jalan cerita

Secara keseluruhannya, untuk episod pertama ini boleh dianggap sebagai episod pengenalan kepada jalan cerita drama ini. Kita diperkenalkan secara ringkas melalui watak-wataknya serta kisah yang berlingkar di sebalik watak-watak tersebut.

Kisah LJH yang mengingati setiap perkara dan tidak mampu melupakan, divisualkan dengan baik, berselang seli antara memori indah dan memori yang menyedihkan. Dan, kehidupan LJH yang seputar di tempat kerja dan rumahnya juga dipaparkan dengan berkesan.

Malah, perjalanan YHJ sebagai seorang aktres juga ditonjolkan dengan hampir sempurna, melalui babak-babak dia menjalani kehidupan sebagai aktres yang sedang meningkat naik. Ia disampaikan melalui kisah fesyen serta trend YHJ yang menjadi ikutan para peminat, dia dicemburui oleh rakan artis yang lain (melalui watak Ko Yura), kegilaan YHJ terhadap media sosial serta kisah gosip dan skandalnya. Ia adalah gambaran yang tepat untuk menunjukkan cerita suka duka seorang aktres.

Kisah pertemuan antara LJH dan YHJ agak menarik. Dua individu yang begitu berbeza, bagai langit dan bumi dipertemukan dan menyingkap satu kisah lain di sebalik kehidupan kedua-dua mereka. Permulaan pertemuan yang klise, tetapi disampaikan dengan berkesan.

Watak/karakter

Secara objektifnya, watak Lee Jeonghoon di tangan Kim Dongwook adalah cemerlang. Dia berjaya mengekspresikan dirinya sebagai seorang pembaca berita yang tegas dalam lembut bicara (sehingga digelar Gentle Tyrant) dan fokus pada kerjaya.

Paling disukai adalah ekspresi mata LJH yang berubah mengikut situasi, dengan pandangan redup penuh sayu ketika dia mengenang setiap memori yang dimiliki hinggalah kepada renungan tajam sewaktu dia bertugas sebagai pembaca berita.

Dan saya suka melihat bagaimana gaya rambut LJH yang berubah sejajar dengan situasi dan kehidupannya. Juga pakaian yang digayakannya. Jelas bahawa ia telah diberi perhatian teliti oleh pihak produksi. Watak ini berhasil dalam aspek visual dan emosinya.

Untuk watak Yeo Ha Jin, ini mungkin adalah kali pertama bagi Moon Gayoung memegang watak dewasa (saya anggarkan umur antara 25 hingga 28 tahun). Moon Gayoung sebagai YHJ adalah bagus, walaupun tidak sempurna, dan ia seperti refleksi kepada wataknya di luar drama. YHJ, seperti yang saya katakan sebelum ini, bukanlah watak tipikal seorang aktres.

Penulis bijak mengolah wataknya sebagai seorang aktres sedang meningkat naik yang bersikap telus, jujur dan periang. Paling utama, YHJ tidak digambarkan sebagai seorang yang biadab dan positif dalam menerima kritikan terhadap dirinya. Dan, sikap ini sebenarnya disusun sebegitu rupa rentetan kisah hidupnya yang dirahsiakan. Apapun, ekspresi watak YHJ sangat segar!

Yoo Tae Eun, watak paling hampir dengan Lee Jeonghoon. Sparring partner dengan karakter yang kontra daripada LJH. YTE adalah watak seumpama ‘penasihat’ kepada LJH. Dia digambarkan sebagai seorang sahabat yang membesar bersama LJH, dan mengambil alih peranan bapanya sebagai doktor peribadi LJH. Yoon Jonghoon nyata serasi sebagai Yoo Tae Eun walau tidak sempurna.

Meskipun Kim Seulgi sangat bagus dengan wataknya sebagai adik kandung Ha Jin, iaitu Yeo Ha Kyung, saya masih menantikan gadis genit ini untuk memegang watak yang jauh lebih mencabar. YHK, seorang yang bersifat pelindung dan mendahulukan kakaknya dalam apa jua hal. Apa-apa yang dilakukan oleh YHJ dalam rutin hariannya sebagai seorang aktres, harus melalui YHK yang juga bertindak sebagai pengurusnya.

Satu lagi watak sokongan yang dilihat berperanan dalam drama ini ialah Jang Young Nam sebagai Pengarah Choi Hee Sang. Beliau ialah ketua bagi program ‘Lee Jeung Hoon News Live’ dan menjadi tunjang yang menguatkan watak LJH itu sendiri dalam melaporkan kebenaran. Contohnya, wanita berwibawa ini selamba membatalkan panggilan atasannya ketika LJH melaporkan mengenai kes penderaan yang dibuat oleh CEO Hwarang yang merupakan klien penting stesen TV mereka.

Keseluruhannya, untuk episod pertama, pengenalan setiap watak diwarnakan dengan begitu baik dan saya paling gemar melihat sinematografi yang dipersembahkan dalam drama ini. Sentuhan pengarahnya begitu artistik dan lembut tetapi cukup untuk menceritakan emosi bagi setiap watak. Penggunaan warna yang menggambarkan situasi dan emosi watak-wataknya begitu memikat sekali.

Fangirl note:

Gaya rambut Lee Jeonghoon ketika di luar waktu bekerjanya benar-benar membuatkan saya tidak berkelip! And yes, his cute hands always get me hooked!

On the other end, I just love to hear Kim Dongwook reciting the news. The longer the script, the happier I will be! Haha

Tentang Penulis:

Reviu ini ditulis bersama dengan Saudari Farahi Kamarudin. Saya tulis bahagian 1 dan Farahi selesaikan episod 2. Kami berkenalan dan perlahan-lahan akrab sebab sama-sama fan Kim Dong Wook. Sebab itu, kami putuskan mahu tulis reviu drama #findmeinyourmemory ini bersama-sama. Menikmati momen sebagai fan selain praktis menulis reviu.

Farahi Kamarudin ialah anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan (Komuniti).

Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyala rasanya lebih kepada penulisan. Penulis tetap di portal The Patriots Asia. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem). Saudari Farahi boleh dihubungi melalui emel di: Farahi Ghostwriter.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s