REVIU EPISOD 2: FIND ME IN YOUR MEMORY

Episod 2, Bahagian 1: Bencana Penyiaran News Live!

Reviu/Recap

Babak akhir episod 1 diulang, ketika sesi temubual di Lee Jeonghoon News Live. Sebaik sahaja YHJ menyebutkan potongan ayat yang mengingatkannya kepada SY. Belum pernah berlaku dalam sejarah LJH menjadi pemberita, dia terkaku di hadapan kamera! Ia bencana penyiaran pertama buat LJH.

Pasukan di belakang tabir bertindak pantas dengan menyiarkan previu filem YHJ. Keadaan LJH membuatkan YHJ bangun dari kerusi dan menyentuhnya, selepas dia tidak respon kepada panggilan dan teriakan ketua pasukan melalui audio. Tersedar, LJH segera meminta maaf dan meminta air sejuk.

Menanti previu tamat, LJH mengesahkan satu fakta; YHJ tidak pernah tahu bahawa kata-kata itu adalah petikan ungkapan ahli falsafah dan penulis esei Amerika, Henry David Thoreau. Dia juga tak ingat sama ada pernah membacanya di media sosial orang lain.

Simplicity, simplicity, simplicity! I say, let your affairs be as two or three, and not a hundred or a thousand; instead of a million count by half a dozen, and keep your accounts on your thumb nail.

Henry David Thoreau, Walden

Akibat kesilapannya, LJH diberi amaran oleh Pengarah Choi. Rupa-rupanya pengarah itu tahu situasi kesihatan LJH dan dia risau adakah keadaannya semakin teruk. LJH meyakinkan bahawa itu kesilapan pertama dan terakhir yang akan berlaku, sebab dia tahu punca yang menyebabkan peristiwa luar kawal itu terjadi.

Namun, sebaliknya yang berlaku kepada YHJ. Dia dikecam netizen yang lebih menyukai LJH. Daripada klip dia bangun dari kerusi, netizen mengecamnya kerana meninggalkan studio semasa siaran langsung. Konon-kononnya YHJ tersinggung dengan pertanyaan-pertanyaan LJH.

Sekalipun dikecam, YHJ tak peduli. Dia lebih risaukan keadaan LJH dan tertanya-tanya sebab pemberita itu terdiam di studio. YHJ juga berharap dapat bertemu lelaki itu lagi tetapi pengurusnya menghalang kerana tidak suka sikap LJH yang tidak menghormati YHJ semasa sesi temubual.

YTE datang dan bertanya khabar LJH selepas menonton berita dan menasihatkannya supaya lebih berhati-hati. LJH memberitahu sebab sebenar; perihal kopi bercampur alkohol dan dialog YHJ. Dia bertekad tidak mahu bertemu pelakon itu lagi dan akan berusaha mengelak sekiranya perlu bekerjasama lagi pada masa akan datang.

Tapi, tekadnya hanya tinggal tekad. Pengarah Choi menghubungi dan memintanya datang ke restoran. Di situ, YHJ siap menunggu bersama Pengarah Choi. LJH bersikap dingin terhadap YHJ namun dia ditegur oleh Pengarah Choi. Ketuanya itu meminta dia meminta maaf kerana YHJ dikritik hebat akibat kesilapannya di studio.

Sekalipun YHJ berusaha mengajak LJH berbual, lelaki itu menjawabnya acuh tak acuh. Di tengah-tengah pertemuan, Pengarah Choi meminta diri atas urusan peribadi dan berpesan supaya LJH meminta maaf.

Masih bersikap dingin, LJH minta maaf dan terus meminta diri. YHJ terkejut dan memintanya tunggu lagi. Namun, sekali lagi LJH terminum air bercampur alkohol. Dia terus bangun dan pergi. Ia menyebabkan YHJ tersinggung.

YHJ menghalang LJH pulang dan mereka bertengkar di tepi jalan. LJH marah dan memberitahu secara jelas, dia tidak menyukai peribadi YHJ yang semberono dan tidak bertimbang rasa. LJH juga menuduh YHJ tidak sopan kerana menggunakan Pengarah Choi untuk mengajaknya bertemu. Tidak sempat membela diri, YHJ menyimpan rasa tak puas hati kepada lelaki itu.

Esok pagi, LJH dikejutkan dengan berita tergempar. Berita skandalnya dengan YHJ tersebar luas di media dan dia terkejut apabila JIK memberitahu YHJ sudah membuat pengakuan kepada wartawan.

Episod 2, Bahagian 2: Skandal cinta Lee Jeonghoon – Yeo Ha Jin

Reviu/Recap

Permulaan yang sedikit menggemparkan bagi bahagian dua episod kedua ini. YHJ dengan selambanya membuat kenyataan kepada pihak wartawan bahawa dia dalam fasa mengenali LJH! Seluruh negara yakin dengan skandal cinta dua selebriti terkenal ini.

Malah LJH juga telah diserbu dengan para wartawan yang menunggunya di lobi stesen televisyen HBN semata-mata untuk mendapatkan kepastian mengenai skandal cintanya bersama YHJ. Tindakan di luar dugaan seorang YHJ benar-benar membuatkan LJH panik dan hampir naik gila!

Kim Chul Woong pula mengambil kesempatan dalam situasi skandal cinta LJH bersama YHJ untuk memberi bahan berita buat seorang wartawan junior yang dikenalinya. LJH masih menafikan skandal berkenaan. LJH akhirnya mendapat tahu bahawa pertemuannya bersama YHJ malam tersebut bukanlah idea gadis tersebut, tetapi adalah aturan daripada pengarahnya sendiri, CHS.

Pengarahnya memberi cadangan untuk LJH memberi artikel balas untuk menafikan skandal tersebut, tetapi LJH memikirkan reaksi orang luar yang akan melihatnya sebagai lelaki jahat jika dia tiba-tiba menafikan hubungannya dengan YHJ setelah ramai orang melihat mereka berdua pada malam tersebut. LJH malah merasakan bahawa YHJ ingin menjatuhkan dirinya dengan mencipta skandal cinta tersebut.

LJH yang masih geram dengan tindakan YHJ meminta JIK untuk mendapatkan nombor telefon YHJ. Nekad benar nampaknya LJH untuk mencari sebab kenapa YHJ bertindak sedemikian. Malang bagi LJH, rupanya ia bukan waktu yang tepat untuk menghubungi YHJ. Pada waktu itu, YHJ sedang bersiap sedia untuk rakaman rancangan hiburan dan wartawan bertugas (cameo oleh pelawak, Hong Yoon Hwa) mendengar perbualan mereka berdua! Keadaan ini seolah-olah mengesahkan lagi kisah skandal bahawa mereka berdua sedang bercinta.

Babak seterusnya membawa kita kepada YTE yang membaca kisah skandal antara LJH dan YHJ. Jururawat di kliniknya tiba-tiba bertanyakan sama ada LJH mengetahui tentang keadaan YHJ kerana gadis itu pernah menemuinya. Jelas sekali bahawa YTE kurang senang dengan soalan tersebut, kerana dia berpegang kepada etika profesional sebagai doktor yang tidak akan mendedahkan maklumat pesakitnya kepada sesiapa pun.

YTE kemudiannya bertemu dengan bapanya, Prof Yoo yang inginkan hasil keputusan ujian LJH, namun YTE meyakinkan bapanya bahawa tiada apa yang serius berlaku kepada LJH setelah insiden di studio pada hari tersebut.

YHJ bersama HK mengunjungi butik yang menaja pakaian untuk sesi fotografinya. Dan, YHJ sekali lagi bertemu dengan Ko Yura di situ. Menyedari akan motif Ko Yura, YHJ membiarkan sahaja pakaiannya diambil oleh Ko Yura. Tetapi YHJ dengan sikap tenang dan selambanya bertanya kepada Ko Yura adakah dia tidak kisah jika hak tajaan diberikan kepadanya setelah dia memakai pakaian milik Ko Yura tersebut. Itu cara bagaimana YHJ berhadapan dengan orang yang tidak menyukainya. Tenang dan padu.

Berbalik kepada LJH bersama rakan sekerjanya, iaitu wartawan JIK. JIK menunjukkan artikel berkaitan skandal LJH dan YHJ serta komen-komen yang diberikan oleh peminat untuk mereka. Di pihak LJH, ramai yang menyokong dan gembira, tetapi di pihak YHJ, ramai yang membenci dan menganggap YHJ mengambil kesempatan terhadap LJH. Tipikal komen daripada warga internet.

Malam itu, YHJ mendapat mesej daripada LJH yang ingin bertemu selepas selesai rancangan berita yang dikendalikannya. Dan LJH meminta YHJ sendiri yang menetapkan tempat serta waktu yang bersesuaian dengannya. Mereka bertemu, di dalam kereta, di tempat yang terlindung (menurut pendapat YHJ, heh..) bagi mengelak daripada diburu oleh wartawan.

Pertemuan pertama selepas berita skandal cinta antara mereka tersebar. LJH tampak begitu marah dan geram dengan YHJ yang seolah-olah sengaja mengiakan skandal tersebut dan tidak menjelaskan perkara sebenarnya. Namun, YHJ sekali lagi (dengan tenang dan selamba) menyatakan bahawa memang benar dia berminat untuk mengenali LJH dengan lebih dekat. Dia tidak menipu tentang kenyataan bahawa dia menyukai LJH.

Tanpa ragu-ragu, LJH menolak kehendak YHJ dan menyatakan bahawa dia masih belum dapat melupakan cinta pertamanya dan masih mencintainya. Walaupun YHJ tidak berpuas hati, namun dia menerima penolakan tersebut. Tetapi, YHJ masih mahu meneruskan kisah skandal mereka sehinggalah filemnya selesai ditayangkan.

Jika filemnya popular, maka skandal akan bertahan selama selama satu hingga dua bulan dan jika tidak, ia hanya bertahan selama dua minggu. Dan, YHJ sendiri yakin bahawa filemnya tidak akan popular (saya tabik dengan sikap tidak peduli gadis ini!). Sedikit terpegun LJH dengan sisi YHJ yang baru dilihatnya itu.

Tanpa disedari, terdapat dua wartawan sedang mengambil gambar mereka dari dalam kereta. Tidak ingin perkara itu berlanjutan, LJH dan YHJ akhirnya keluar dari tempat tersebut. LJH menawarkan diri untuk menghantar YHJ pulang, dan salji turun dengan lebat sewaktu dia sedang memandu. Salji lebat yang membuka kembali memori lukanya terhadap Seoyeon yang ditemuinya berlumuran darah dalam dingin salji.

Serentak itu, LJH memberhentikan keretanya secara tiba-tiba dan ia mengejutkan YHJ. Dia tak mampu memandu dalam keadaan sebegitu dan meminta YHJ untuk pulang menaiki teksi. LJH turun daripada kereta, meninggalkan YHJ yang masih kehairanan dengan sikapnya. YHJ bersemuka dengan LJH, dan dia sebenarnya mula menyukai lelaki itu pada waktu insiden di studio berlaku.

“Cara awak memandang saya. Di situlah ia bermula. Saya asyik terfikirkan pandangan mata awak. Kenapa dia nampak begitu sedih? Kenapa dia memandang saya dengan mata sebegitu? Apa yang diucapkannya dalam kesenyapan itu? Kita ungkapkan lebih banyak kata-kata dalam senyap, berbanding ketika kita ungkapkannya secara jelas.”

Sekali lagi, kata-kata YHJ mengingatkan LJH terhadap SY. Di babak lain, YTE teringatkan keadaan YHJ yang kelihatan kosong dan tidak terurus. Di sebalik fail milik YHJ, terselit sekeping gambar. Gambar YHJ bersama Jung Seoyeon.

LJH mahukan kepastian kepada persoalan yang bermain di fikirannya. Dan, LJH akhirnya bertanya kepada YHJ, adakah dia mengenali Seoyeon. Namun, YHJ menafikan bahawa dia mengenali Seoyeon, membuatkan LJH terpinga-pinga dengan kenyataannya.

“Awak siapa sebenarnya?”

Plot / jalan cerita

Episod kedua ini mempunyai perkembangan yang jelas dari segi jalan cerita dan plotnya. Melalui episod ini, kisah hidup YHJ mula disingkap sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan kisah LJH bersama cinta pertamanya. Kedua-duanya memiliki rahsia tersendiri, dan rahsia itu adalah titik kepada pertemuan mereka.

Jujurnya, saya sangat sukakan bagaimana kisah hidup YHJ sebagai aktres dipaparkan dalam drama ini. Ia masih tipikal, tetapi dipersembahkan dalam gaya yang tersendiri. Kisah skandal yang diciptanya sendiri, mungkin pada mata umum, ia adalah bagi melariskan filemnya, tetapi hakikat sebenar bukanlah begitu. YHJ benar-benar menyukai LJH! Mungkin melalui babak dan plot ini, ia mengingatkan kita bahawa bukan semua artis dan selebriti terlibat dalam skandal cinta demi promosi diri, mungkin di sebaliknya ada hati benar-benar sedang dilamun cinta.

Saya juga gemar melihat babak di mana LJH yang tidak suka dengan perhatian yang diberi untuknya selepas skandal cinta itu tersebar. Sungguh, ia memang tidak menyenangkan bagi seseorang yang kehidupannya biasa-biasa sahaja seperti LJH. Ia reaksi normal bagi orang yang tidak pernah terlibat dalam dunia glamor penuh dengan limpahan cahaya kamera seumpama YHJ.

Saya suka skrip LJH ketika sesi temubual. Tersusun kemas dan seperti dirancang-rancang. Tenang dan licik, dia memancing tetamunya untuk berkongsi maklumat sehingga sampai kepada titik cerita yang dia mahu dedahkan kepada penonton. Kemas, apabila dia meminta izin untuk bertanya berkaitan hal peribadi kepada YHJ dan kemudian terus melontarkan soalan emas selepas diberi keizinan.

Watak/karakter

Watak LJH sekali lagi membuatkan saya tersenyum lebar. Sisi tegas dan rasa marahnya terhadap berita skandal cinta palsu itu membuatkan saya teruja. Tidak perlu jeritan atau herdikan, cukup dengan kata-kata sinis dan pandangan mata, cukup membuatkan kita faham bahawa LJH tidak gemar dengan apa yang berlaku antara dia dan YHJ. Satu lagi, reaksinya semasa terpaksa menjawab pertanyaan Hong Yoon Hwa itu, mahal!

Pada satu sisi lain, ditunjukkan juga sikap LJH ketika bersama SY. Penyayang, lembut, romantik dan menyenangkan dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir. Jauh berbeza daripada sikapnya ketika berhadapan dengan YHJ.

Karakter YHJ turut membuatkan saya tertawa besar. Reaksi selamba dan sikap berterus terangnya begitu menawan hati. YHJ adalah gadis jujur yang tahu apa yang dia mahukan. Dia tidak berlengah jika dia menyukai seseorang, malah boleh terus mengungkapkannya. Paling ekstrim, atas tiket seorang aktres, YHJ mampu mencetuskan skandal dirinya sendiri!

Saya suka melihat sikap YHJ ketika berhadapan seniornya yang kaki buli itu. Dia tenang dan tahu menjaga diri. Lebih utama, dia membuatkan KYR terkedu dengan niatnya sendiri. You score, girl! A beauty with brain, indeed.

YTE adalah watak yang paling banyak berkembang dalam episod kali ini. Jelas bahawa dia sebenarnya mengenali YHJ sebagai seorang pesakit, dan bukan sekadar seorang aktres. Malah, ada rahsia yang disimpan oleh YTE yang masih belum mampu dia ceritakan kepada LJH.

Sikap Prof Yoo yang memaksa YTE memberi keputusan ujian LJH sedikit tidak menyenangkan. Memandangkan dia bukan lagi doktor LJH, tidak sepatutnya dia bersikap sedemikian sekalipun dia pernah berjasa besar kepada LJH.

Fangirl Note: Seperti YHJ, saya juga sukakan pandangan redup LJH!

I love his smile!

Tentang Penulis:

Reviu ini ditulis bersama dengan Saudari Farahi Kamarudin. Saya tulis bahagian 1 dan Farahi selesaikan episod 2. Kami berkenalan dan perlahan-lahan akrab sebab sama-sama fan Kim Dong Wook. Sebab itu, kami putuskan mahu tulis reviu drama #findmeinyourmemory ini bersama-sama. Menikmati momen sebagai fan selain praktis menulis reviu.

Farahi Kamarudin ialah anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan (Komuniti).

Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyala rasanya lebih kepada penulisan. Penulis tetap di portal The Patriots Asia. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem). Saudari Farahi boleh dihubungi melalui emel di: Farahi Ghostwriter.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s