Mengintai Ruang Berkarya (Cerpen) di Majalah

Dalam dunia penulisan fiksyen, salah satu cara cepat untuk membina nama adalah melalui penerbitan cerpen di akhbar, majalah atau antologi penerbit yang tumbuh semakin banyak.

Secara tidak langsung, menghantar karya supaya terbit di ruang terbitan berkala menjadi platform yang baik membina momentum dan semangat untuk terus berkarya. Sementara menanti manuskrip novel dibukukan, kaedah ini ada masanya dilakukan ramai penulis tempatan. Kita juga tidak mahu menjadi penulis yang berputus asa kerana tidak ada karya yang terbit.

Hari ini, saya mahu berkongsi mengenai penerbitan karya secara eceran di majalah tempatan.

Bagaimana mahu melihat karya terbit di majalah?

Langkah Pertama: Beli majalah

Buat pelaburan awal anda dengan membeli majalah yang ada di pasaran. Ciri penulis yang baik, tindakannya dirancang dan bermatlamat.

Sudah ada majalah? Semak tiga perkara.

Satu, maklumat editorial dan ruang kolum majalah. Ada ruang karya pembaca? Jika ada, adakah ia ruang cerpen atau puisi?

Dua, periksa nama pengelola ruangan (jika ada) dan ambil maklumatnya.

Tiga, lihat maklumat penerbitan. Adakah ia diterbitkan secara mingguan, bulanan atau selang dua bulan? Mengetahui maklumat ini, penulis boleh mencongak masa untuk membuat follow up status karya.

Langkah Kedua: Kaji

Selepas memeriksa tiga perkara asas tadi, kita lanjutkan kajian. Baca isi majalah secara keseluruhan dan lihat jenis konten yang dikongsi. Tajuk-tajuk perkongsian para kolumnis, sering menjurus ke mana? Bahasa penyampaiannya, bagaimana?

Juga, kaji karya yang terbit. Apa yang saya maksudkan dengan kaji? Periksa tema, jumlah perkataan dan bahasa. Adakah karya mesti diselitkan hadis atau ayat al-Quran? Adakah kebanyakan karya yang terbit menggunakan POV1? Bahasanya, santai atau bagaimana?

Mengapa perlu baca isi majalah?

Untuk dapatkan ilmu baru, yang penting sebagai input dalam karya kita nanti. Kita adalah apa yang kita baca.

Langkah Ketiga: Tulis

Sudah tahu jenis karya yang terpilih untuk diterbitkan, mula merangka dan tulis karya kita. Bersesuaian dengan tema majalah berkenaan. Sudah siap, edit sendiri. Pastikan karya kita minimal kesalahan tatabahasa dan ejaan. Jika tak mahu edit, dapatkan khidmat editor bebas. Biasanya, harga servis di antara RM3.50 – RM6 per halaman, bergantung kepada tugasan yang diedit.

Siapkan juga satu dokumen lagi yang mengandungi profil penulis.

Apa yang perlu diisi dalam profil penulis?

Nama penuh,

Nama pena (jika ada),

Emel,

No telefon,

Alamat surat-menyurat,

Maklumat bank (nama bank dan no akaun),

Perakuan (penulis mengaku karya yang dihantar adalah bukan karya ciplak atau plagiat, juga belum pernah diterbitkan di mana-mana ruang online dan offline).

Penting: Letak nama dokumen dengan lengkap.


Contoh:

Cerpen Pangkat – Mingguan Wanita – Rahmah Mokhtar.docx

Cerpen Pangkat – Profil Rahmah Mokhtar.docx

Langkah Keempat: Hantar

Apabila karya sudah siap, buka emel, karang isinya dan hantar. Lampirkan kedua-dua dokumen, karya dan profil penulis.

Apa yang perlu ditulis dalam isi emel?

Ini yang selalu dikongsikan oleh guru-guru saya.

1. Ucapan salam, doa

2. Perkenalkan diri

3. Maklumat karya – sinopsis keseluruhan (setengah halaman A4)

4. Maklumat lampiran – nama dokumen yang dilampirkan.

Langkah Kelima: Tulis lagi

Selepas menghantar karya, kita terus menulis cerpen seterusnya. Tempoh menunggu karya terbit, selalunya di antara 1 hingga 6 bulan. Sepanjang tempoh itu, kita hasilkan karya lagi untuk majalah yang sama atau majalah lain pula.

Bila masa yang sesuai untuk buat follow-up?

1. Sehari atau dua hari selepas hantar emel, untuk tanya status penerimaan.

2. Selepas dua minggu, untuk tanya status penilaian (kala majalah mingguan).

3. Selepas sebulan, untuk status penilaian (kala majalah bulanan).

Letak tajuk emel yang jelas. Contohnya, Pertanyaan: Status Penilaian Karya

Bagaimana jika tiada khabar selepas enam bulan?

Selalunya, ia bermakna karya ditolak. Tenang sahaja, emel editor dan tanya status penilaian karya sekali lagi.

Jika tiada maklumbalas, hantar emel kedua dengan tajuk yang jelas; Menarik Semula Karya (Judul: Pangkat).

Dah tarik balik karya, edit dan sesuaikan dengan Ruangan Pembaca di majalah lain pula.

Buat penulis muda, ini maklumat penting buat anda. Majalah Tunas Cipta terbitan DBP sangat meraikan karya segar daripada penulis baru dan muda. Jangan lepaskan peluang, hubungi mereka dan hantar cerpen anda. Maklumat editor, seperti dalam gambar di bawah:

60200214_2860613110831343_2462458983072399360_o

Baik, sampai di sini sahaja.

Selamat menulis!

Rahmah Mokhtar,
Suka menulis cerpen untuk majalah.

Tidak Suka Karya Sendiri?

Soal Jawab Penulisan (SJP)

Apa khabar semua? Alhamdulillah, kita berjumpa lagi di sini. Ya, sudah sangat lama saya tak tambah entri di blog ini. Sudah masanya untuk saya kembali menulis dan berkongsi di sini. Insya-Allah, kali ini saya mahu mulakan satu ruang baharu; Soal Jawab Penulisan di ruang ini. Cadangannya, saya mahu fokuskan kepada beberapa topik iaitu self-criticism, procrastinate, self-edit dan free writing.

Hari ini, saya mulakan dengan topik self-critic. Saya fikir ini situasi yang berlaku kepada banyak penulis dan boleh jadi kritikal apabila gagal dikawal. Ia juga berlaku kepada saya. Maka, saya memilih untuk mulakan semula perkongsian di rahmahmokhtar.com dengan topik ini, supaya dengannya saya boleh kutip semula semangat yang terperca-perca dan cantumkannya dengan keazaman semua sahabat. Biiznillah!

Ada satu persoalan yang sering saya tanya kepada diri sendiri dan ada juga yang tanya kepada saya hal ini.

Apa yang perlu saya buat jika saya tak suka apa saya sudah/ sedang tulis?

Teruskan tulis. Jangan berhenti. Teruskan sampai siap atau sehingga capai sasaran yang ditetapkan untuk hari itu. Kemudian, simpan (save) dan tutup. Seterusnya, lupakan dan buat benda lain. Tak kisahlah sama ada membaca, minum air panas, tonton televisyen ataupun masuk tidur.

Mengapa perlu lupakan? Boleh jadi, waktu sedang menulis itu emosi kita tidak berada pada tahap terbaik. Mungkin kita penat dengan bermacam-macam perkara yang berlaku sepanjang hari atau kita tidak cukup tidur. Dalam situasi itu, sebaiknya pilih untuk tidak percayakan pertimbangan sendiri sebab ia cenderung kepada pilihan negatif.

Dalam keadaan penat begini, minda kita yang sememangnya banyak kecenderungan mempercayai hal negatif (negativity bias) akan mula mencucuk lebih banyak perasaan tidak enak yang menjatuhkan motivasi diri. Sepertimana kita membaca komen-komen di newsfeed Facebook. Daripada 10 yang positif dan buat kita tersenyum, ada satu komen negatif yang sangat menjatuhkan semangat. Begitu sahaja, ia buat kita lupa sepuluh cerita positif yang dibaca sebelumnya. Ya, satu keburukan buat kita terlupa 1001 kebaikan yang pernah dilakukan.

Maka, disarankan untuk buat tak tahu dan biarkan jemari terus menekan papan kekunci. Tulis sahaja idea yang datang pada waktu itu dan jangan berhenti selagi ‘loceng / alarm’ belum berbunyi (sudah capai sasaran masa / bilangan perkataan, dsb). [Ini konsep free writing, saya akan kongsikannya pada waktu lain.]

Setelah itu, peram sahaja tulisan itu buat seketika. Lihat semula selepas kita sudah kembali rasional (sudah cukup rehat, dah makan, atau selepas beberapa hari), Percaya atau tidak, waktu itu kita akan menilai tulisan sendiri dengan lebih baik.

“Oh, bagus juga yang aku tulis ni. Aha, ini point yang baik!”

Saya pernah melakukannya. Waktu menulis, macam-macam rasa negatif yang muncul tetapi saya teruskan juga. Paling banyak, fikiran negatif ini datang sewaktu saya mengejar sasaran untuk menyudahkan naskhah Jodoh Berdua.

“Entah apalah yang aku tulis ni, ada ke orang nak baca? Ah, layak ke tulisan semacam ini diterbitkan? Kenapa watak ni bodoh sangat? Ada ke plot cerita macam ni?”

Soalan-soalan ini, sangat kerap berulang dalam kepala. Namun, saya pilih untuk jalan terus dan fikir ada sasaran yang mahu dicapai.

Baik, mari lihat semula soalan-soalan ini dengan fikiran yang positif:

1. ‘Entah apalah yang aku tulis ni, ada ke orang nak baca?’

Setiap karya itu ada khalayaknya yang tersendiri. Mahu beri orang baca, ia mesti ditulis dahulu. Jika tidak ditulis, bagaimana orang lain dapat membacanya? Benarkah ia entah apa-apa macam yang kita fikir? Jika kita pembaca banyak karya yang baik dan bagus, insya-Allah hasil yang kita tulis juga menjurus ke arah itu. So, do not bother yourself with those unhelpful thoughts.

2. ‘Ah, layak ke tulisan semacam ini diterbitkan?’

Yang itu, serahkan kepada orang yang layak untuk menilainya. Selepas dinilai, kita tambah baik apa-apa yang kurang. Sekali lagi, ia akan menjadi karya yang langsung tidak dapat diterbitkan sekiranya ia hanya kekal di dalam kepala kita sahaja. Jika asyik fikir sahaja tanpa menumpahkannya ke atas kertas, pastilah ia akan menjadi karya yang tidak layak diterbitkan.

3. ‘Kenapa watak ni bodoh sangat? Ada ke plot cerita macam ni? Plot tak logik, penamat yang aku fikir pun jahanam. Aduh, apa yang aku tulis ni?’

Sebab itu, kita perlu teruskan tulis. Dah siap, baru tengok semula semuanya secara menyeluruh dan tambah baik di mana-mana yang perlu. Bercakap pasal rasa karya tak bagus, Neil Gaiman juga memikirkannya setiap kali menulis sekalipun dia seorang penulis hebat yang memenangi banyak anugerah. Dia akan menghubungi editornya selepas selesai menulis lebih daripada separuh novel dan kata ceritanya tak bagus, pasti tak ada orang nak baca. Sang editor hanya ketawa dan kata, Neil ucapkan dialog itu setiap kali menulis bukunya.

 

Dalam dunia, ada dua kategori penulis yang karyanya tidak akan pernah diterbitkan:

1. Penulis yang asyik menulis Bab 1 (Jika cerpen, halaman pertama)

Apa maksudnya? Apa yang salahnya jika mahu bab 1 yang sempurna? Bukankah ia faktor yang paling penting untuk buat pembaca terpesona dan mahu membaca cerita kita sampai noktah akhir? Ya, tidak salah. Tetapi, bagaimana jika dari bulan 1 hingga bulan ke-5, kita hanya tulis dan tulis semula bab 1 sebab mahu hasil yang sempurna?

Maka, belajar untuk tekan butang pause, berhenti betulkan Bab 1 dan move on. Selesai letak noktah akhir untuk draf pertama, barulah lihat atau olah semula Bab 1, sesuai dengan ending yang kita ada. Waktu ini, skil penulisan kita sudah tak sama dengan yang awal. Menilai semula cerita dalam keadaan sudah tahu keseluruhan plot, pastilah berbeza dengan penilaian waktu cerita HANYA ada satu bab.

2. Penulis yang asyik mulakan cerita baru selepas siap 1 cerita

Eh, apa yang tak kena? Baguslah dia tulis cerita baru lepas siapkan sebuah manuskrip. Bukan senang nak capai. Mengapa pula karyanya tak akan pernah diterbitkan?

Saya setuju, ini sikap yang bagus – tulis sampai selesai. Tetapi, bagaimana jika selepas dah siap itu, dia pilih mahu menulis cerita baru kerana percaya ceritanya langsung tak bagus? Dia pilih tulis kisah lain tanpa melihat semula draf penuh yang sudah siap itu? Memang ditulis dengan niat untuk dibiarkan begitu sahaja?

Jadi, apa yang perlu dibuat? Rehat sebentar, ambil nafas dan bertenang kemudian lihat semula draf pertama yang sudah siap itu. Tambah baik. Tidak ada draf pertama yang sempurna. Pasti ada bahagian yang perlu ditampal, dibaiki, dibuang dan dibetulkan. Terima kenyataan itu dan dari situ, kita pasti akan sedar yang kita dah banyak belajar sepanjang menulis draf pertama sebelumnya.

Jadi, sikap bagaimana yang kita boleh ambil untuk jalan terus? 

Ini beberapa sikap dan jalan keluar yang dicadangkan.

  1. Saya tidak layak untuk betulkan Bab 1 selagi saya belum menulis Bab 2. 

Beritahu diri hal ini setiap kali kita melihat Bab 1 yang difikirkan entah apa-apa itu. Jeling sahaja bab yang sudah siap ditulis itu, telan air liur dan buka dokumen baru – Bab 2. Untuk cerpen, teruskan menaip sehingga cecah halaman kedua. Selepas itu, paksa diri untuk teruskan lagi sehingga masuk ke halaman baharu. Jika ada sinopsis, Pecah-pecahkan. Selesai tulis satu konflik atau babak, salin (copy) sinopsis yang belum selesai dan letak (paste) di bawah cerita yang sudah ditulis. Ini sekurang-kurangnya membantu menghalang kita tengok semula halaman pertama.

  1. Jangan sekali-kali alihkan jari daripada papan kekunci. 

Never! Kabi nehi! Teruskan menulis, ketik huruf demi huruf, bentukkan perkataan demi perkataan dan jalinkan ayat demi ayat di atas skrin putih di hadapan kita. Sekalipun mata asyik mengintai perkataan yang ada salah ejaan atau tanda baca yang tak sesuai, halang diri daripada menekan butang backspace. [Ini, boleh dilakukan dengan latihan free writing.]

  1. Sudah-sudahlah, belajar untuk lepaskan. 

Yes, Let It Go. Move on! Bebaskan diri daripada terus terbelenggu dengan Bab 1 yang belum cantik dan menarik itu. Gagahkan hati dan fikiran untuk fokus kepada Bab 2 dan seterusnya, sesuai dengan sinopsis atau rangka yang sudah dibuat. Amat sayang, apabila kita asyik fokus kepada bab awal, idea yang sedang berkembang jadi terhalang kerana kita menarik perhatian kepada bahagian cerita yang sudah ditulis. Percayakan idea yang sudah dirangka dan teruskan. Yang awal tak habis keluar, bagaimana yang baru mahu masuk? Kita tidak tahu kejutan apa yang akan muncul di tengah-tengah cerita selagi belum menuliskannya.

  1. Kumpulan sokongan. 

Cari geng yang boleh membantu kita membina karier sebagai penulis. Kumpulan ini saling memberi sokongan sesama sendiri; memberi idea (brainstorm), komen dan kritikan membina. Bagaimana hendak cari geng begini? Salah satu caranya adalah menyertai kelas-kelas atau aktiviti penulisan untuk luaskan jaringan kenalan. Contohnya sesi Write-In (seperti yang dilakukan oleh saudara Lokman Hakim). Kenalan di media sosial juga boleh membantu. Beranikan diri dan mula berhubung dengan rakan-rakan yang juga suka menulis. Saya sendiri kenal geng MyMove melalui Facebook. 

photo6303106326879905797
Antara ahli MyMove.

 

IMG_20190401_093046_968
Ini juga antara kumpulan sokongan saya. Kami juga saling kenal melalui FB. Geng typo, selalu menceriakan saya, saling memberi ingat.

Semoga membantu!
Kita jumpa lagi dalam entri akan datang.

Rahmah Mokhtar,
Hidup sentiasa tawarkan peluang kedua, yang namanya esok.

Enam Sebab Penulis Fiksyen Perlu Menyediakan Rekod Bacaan

Tidak dinafikan, membaca karya yang bagus dan pelbagai menjadikan seseorang itu lebih banyak idea dan jiwa. Apabila seorang penulis melakukannya, semakin mudah mereka mendapat idea menulis. 

Kata Aan Mansyur, “Saya tidak percaya adanya writer’s block. Saya lebih percaya kepada reader’s block. Iaitu apabila saya tidak boleh menulis, bermakna saya kurang membaca.”

14435041_10209905579188993_4034880520409558863_o

Saya kagum mendengar bicara penulis hebat ini di IIBF tiga tahun lalu. Sampai sekarang, saya masih ingat beberapa pesanan beliau dan ini antaranya.. Langsung saya percaya, ada mindset yang harus diubah – pembaca cemerlang yang tidak berhenti menekuni bahan bacaan itu sangat signifikan dalam membentuk penulis yang mahu terus menulis.

Soalnya, bagaimana aktiviti membaca boleh membantu menggiat nyalarasa seorang penulis?

Ada enam manfaat yang boleh diperoleh.

1. Merangsang Minat Membaca

Menyediakan rekod buku yang sudah dibaca membuat kita semakin bermotivasi untuk membaca lebih banyak buku. Sebab kita mahu tambah skor dan catatan ini sebagai KPI diri.

2. Meningkatkan Penghargaan Terhadap Buku

Apabila ada rekod, kita lebih tahu jenis, kategori dan kualiti bahan bacaan yang ada dalam simpanan. Secara tidak langsung, kemampuan kita menilai buku bertambah. Kita semakin tahu menghargai, membezakan kualiti buku dan membuat perbandingan untuk rujukan sendiri.

3. Berfungsi seperti Curriculum Vitae (CV)

Seperti ruang pengalaman dalam CV, begitulah yang berlaku apabila menyediakan rekod bacaan. Melalui catatan ini, kita dapat melihat bahan bacaan yang kita suka dan jumlah yang sudah dibaca. Semakin banyak buku mengenai topik yang sama dibaca, semakin luas pengetahuan dan wawasan kita mengenai bidang berkenaan. Langsung, kita tahu kapasiti diri terhadap bidang yang sedang dikuasai.

4. Berfungsi seperti Catatan Harian

Dalam diari atau jurnal peribadi, kita merakam catatan aktiviti sehari-hari. Dalam rekod bacaan pula, kita memuatkan senarai buku yang sudah dibaca. Lebih utama, catatan ini juga termasuk senarai buku rakan-rakan yang sudah dibaca. Secara halus, kita mencipta hubungan dengan rakan yang karyanya sudah kita baca. Sebab membaca karya seseorang bermakna kita membaca fikiran dan ideanya. Dari sini, kita boleh mengenalpasti penulis yang berpotensi untuk dilamar sebagai penulis bersama.

5. Menginspirasi Dalam Memberi Tajuk Karya

Melihat senarai judul yang sudah ditulis dalam catatan, kita terinspirasi juga dalam memilih judul yang sedap dan menarik perhatian untuk karya sendiri. Menarik apabila kita boleh melakukannya dan menyelesaikan masalah dalam memilih judul karya tanpa perlu membelek judul buku di rak.

6. Mencatat Jumlah Koleksi Buku Sendiri

Penulis selalunya mempunyai bahan bacaan yang banyak. Menyediakan rekod bacaan memudahkan kita menyelaras kesemuanya dan kita tahu yang mana sudah dihadam, yang mana masih beratur dalam barisan untuk dibaca.

Jadi, apa yang perlu dimuatkan dalam Rekod Bacaan? Ada lapan item yang penting:

  1. Judul buku
  2. Halaman
  3. Nama penulis
  4. Penerbit
  5. Tahun terbit
  6. Tarikh beli
  7. Harga
  8. Status bacaan

Sesudah memiliki senarai begini, automatik, kita penulis tahu kecenderungan dan minat sendiri. Jadi, kita tahu itu adalah genre yang paling sesuai untuk dijadikan nic dan fokus penulisan.

Oh ya, aktiviti ini juga boleh dilakukan melalui Goodreads. Bahkan, ada cabaran yang boleh disertai (jika mahu). Sambil membaca, kita juga dapat tambah kenalan dan untung-untung ada sesi perbincangan boleh dilakukan mengenai buku yang dibaca.

Rahmah Mokhtar,
TulisCerpen101

Terjemahan | Praktis

Hujung 2017, saya sempat mengikuti kelas terjemahan. Namun, saya tak praktis sangat sampai sekarang. Jadi, sebelum ilmu yang ada langsung terbang melayang dari kotak memori, ada baiknya saya bermula sekarang. Bak kata Dr. Rick Hanson, pakar psikologi yang terkenal dengan bukunya yang berjudul Resilient, “Kita tak boleh berbuat apa-apa dengan masa yang sudah berlalu, tetapi kita boleh bermula dan belajar dari sekarang.”

Jadi, ini latihan pertama yang saya buat sendiri, dan disemak oleh seorang Professor dari Jabatan Kimia Universiti Malaya.

*****

Penyelidik Temukan Cara Mengubah Beg Plastik Menjadi Komponen Bateri

Penyelidik dari Universiti Purdue, Amerika Syarikat telah mencipta teknik bagi menukar beg plastik terbuang kepada anod cip karbon dalam bateri ion-litium sebagai sumber kuasa telefon pintar dan peranti lain.

Berikutan larangan penggunaan beg plastik diwartakan di seluruh dunia sebagai langkah mengelakkan ia memenuhkan tapak pelupusan dan lautan, para penyelidik Purdue telah mengenalpasti polietilena dalam beg plastik yang berkemungkinan sebagai sumber karbon penyimpanan-tenaga yang murah. Bagaimanapun, mereka juga mendapati teknik mengubah polietilena kepada karbon pada waktu ini adalah mahal dan tidak efisyen.

Dalam kajian tersebut, Vilas Pol, seorang Profesor Kejuruteraan Kimia di Universiti Purdue dan rakan sekerjanya merendam beg plastik polietilena ke dalam asid sulfurik dan kemudiannya disimpan di dalam bekas kedap reaktor solvoterma (proses melibatkan tekanan di antara 1 atm ke 10,000 atm dan suhu tinggi, di antara 100oC hingga 1000oC).

Seperti penghasilan produk kitar semula yang lain, proses awal kajian melibatkan perubahan struktur molekul. Struktur perantaraan penting bagi membolehkan ia diolah kepada bentuk lain. Polietilena yang direndam kemudiannya dipanaskan sehingga mencecah suhu takat lebur. Keadaan ini menyebabkan asid sulfonik terikat kepada rantaian karbon polietilena yang membolehkan ia dipanaskan ke suhu yang lebih tinggi tanpa berubah kepada gas berbahaya.

Selepas itu, polietilena tersulfon ini dikeluarkan daripada reaktor dan dipanaskan pula di dalam relau persekitaran lengai bagi membentuk karbon tulen. Karbon ini seterusnya dikisar hingga lumat menjadi serbuk hitam yang boleh digunakan sebagai anod dalam bateri ion-litium, yang berfungsi sebagaimana bateri komersial.

Bukan hanya Universiti Purdue yang berusaha menemukan kegunaan lain beg plastik pakai buang ini. Pengeluar kasut Adidas telah mencipta kasut sukan daripada adunan plastik yang dikumpul daripada bahan buangan (plastik) di lautan. Selain itu, para pencinta alam di Belanda juga telah membina la  luan berbasikal yang dibuat sepenuhnya daripada bahan plastik kitar semula.

Laporan kajian ini dimuatkan dalam Jurnal ACS Omega.

Nota: Artikel asal, klik sini.

3 Cara Melawan Syaitan yang Mengganggu Penulisan

Sering menjadi isu, untuk menjadi penulis yang karyanya mahu diterbitkan oleh penerbit, adakah perlu mempunyai 50 ribu fan di Facebook terlebuh dahulu?

Dua tahun lalu, boleh jadi jawapannya ya. Sekarang pun, situasi ini masih berkemungkinan ya dan boleh jadi tidak.

Karya yang bagus, pasti akan dicari dan ia tidak akan boleh dicari atau dibaca oleh orang lain melainkan selepas ia ditulis.

Saya secara peribadi, sangat suka apabila karya saya dibaca oleh orang lain. Lebih suka apabila ia dibaca hingga habis, kulit ke kulit. Jika tulis hanya untuk simpanan sendiri, itu lain cerita.

Dengan situasi ekonomi yang tidak menentu dan pasaran semakin tertarik dengan konten online, saya tidak menyalahkan penerbit apabila memilih untuk menerbitkan karya penulis dengan ramai pengikut. Itu strategi bisnes mereka dan ia tidak salah untuk survival.

Di sebalik semua itu, kita lihat semula sudut yang lebih penting; apa yang penulis dengan ramai follower itu buat untuk sampai ke tahap mereka?

Para sifu penulisan dan rakan keliling saling memberi ingat, ia mengenai konsistensi dan usaha yang fokus.

Maka, tolak tepi dahulu isu 50 ribu followers itu. Utamakan hal yang LEBIH UTAMA, iaitu menaikkan tahap diri ke arah menjadi penulis profesional melalui konten karya yang berkualiti.

Jadi, mari lakukan yang terbaik.

“Sekiranya kamu bukan anak raja dan bukan juga anak ulama besar, maka jadilah penulis.” – Imam al-Ghazali

Menjadi penulis, ia tidak semudah yang diperkatakan. Ia perlu kepada usaha berterusan, matlamat yang jelas dan bahan yang baik.

Usaha Berterusan

Menulis dengan konsisten adalah sesuatu yang sukar. Seperti sukarnya mahu istiqamah dalam melakukan kebaikan sebab kita akan berperang dengan nafsu dan hasutan syaitan.

Jadi, bagaimana mahu melawan syaitan yang mengganggu penulisan?

Syaitan ini boleh ditewaskan dengan PEDANG USAHA.

Saya mahu datangkan 3 kaedah mencapai istiqamah, seperti yang dikongsikan oleh Ustaz Elyas Ismail dalam siaran Forum Perdana Ehwal Islam yang mengupas tajuk Jom Selfie pada 6 Januari lalu.

1. Bermula dengan perkara yang kecil-kecil.

Cipta sasaran kecil yang perlu diselesaikan setiap hari. Sebagai contoh, kita mahu menyiapkan sebuah manuskrip 200 halaman dalam masa sebulan.

Hapuskan sentimen, “Banyaknya nak kena tulis!” dengan meletakkan target kecil-kecil seperti SIAPkan 6 halaman sehari.

2. Bermula dengan diri sendiri.

Kita tidak boleh mengubah sikap orang lain. Sebabnya, kita tidak memegang hati orang lain.

Campak jauh-jauh perasaan ragu-ragu yang membawa kepada soalan, “Bagaimana aku boleh siapkan kerja ini? Adakah aku mampu?”

Caranya, duduk dan tulis. Ada ENAM halaman perlu siap sebelum jam 12 malam ini.

3. Mulakan sekarang.

Ya, the power of NOW. Urusan konsisten tidak dapat berlaku dengan bertangguh.

Mari, baca bismillah dan putuskan rantai yang menjerut leher dengan virus malas!

Tanya diri soalan ini SEKARANG.
“Sudah tulis berapa halaman hari ini? Sudah cukup enam?”

Matlamat yang jelas

Seperti kata Buya Hamka, “Penulis yang jelas dengan tujuan dia menulis akan menghasilkan karya yang baik.”

Usah jadi seperti saya, yang bermula tanpa tujuan yang jelas.

Salah satu tanggungjawab penulis adalah menyampaikan, yang juga menjadi tanggungjawab setiap orang Mukmin. Bidang apapun yang kita kuasai, matlamat mahu menyebar ilmu dan berkongsi akan membantu kita menulis karya yang jelas.

Cerita yang tidak diketahui penghujungnya cenderung mempunyai plot bersimpang-siur.

Bahan yang baik

Bagaimana mahu dapatkan bahan yang baik untuk ditulis?

i. Nikmati hidup. Raikan kehidupan, perasaan dan fikiran. Hidup baik-baik dan kutip manfaat daripada setiap yang kita lakukan.

ii. Sediakan jurnal harian. Rekod momen kita menikmati hidup.

iii. Juga, banyakkan membaca bahan bacaan di luar bidang yang kita tahu. Sahabat saya selalu mengamalkan kaedah speed-reading; cari kata kunci dalam bahan yang dibaca.

Semua ini bahan baik yang boleh dituliskan.

Jadi, sudah berapa halaman yang ditambahkan ke dalam manuskrip kita hari ini?

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

Kursus Penerbitan Gaya Dewan

Menjadi editor bebas, ada banyak hal yang mahu saya capai. Tidak banyak, saya selalu mahu memenuhkan senarai wish list sendiri dengan tanda sukses. Kalaupun bukan untuk orang lain, ia adalah penanda aras untuk tahap yang saya gariskan kepada diri sendiri.

Alhamdulillah, pada 18-19 Jun 2019 lalu, akhirnya saya berjaya menghadiri sebuah kursus penting anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak wajib, tetapi pada saya ia sangat bermakna dalam kamus hidup seorang editor freelance yang bermula tanpa latarbelakang dalam bidang bahasa atau bidang lain berkaitan editorial.

Kursus dua hari ini disampaikan oleh Tuan Haji Jamaluddin bin Mohd Sulong, bekas editor DBP sendiri. Berbekalkan pengalaman 35 tahun, tidak syak lagi beliau pakar dalam bidang yang diajarkan.

Seronok menadah ilmu dengan beliau. Terperinci, baik nota mahupun penerangannya mengenai suntingan, susun atur dan reka letak manuskrip buku.

Rare. Kami turut berkesempatan menyediakan sendiri mock-up buku secara manual! Renyah, tetapi sangat banyak yang dipelajari dan dikunyah melalui sesi amali ini. Syukur, ia tidak perlu disediakan di luar. Sudah ada banyak perisian yang memudahkan kerja.

 

Tahniah, saya tepuk bahu sendiri untuk kejayaan ini. Masa untuk praktik!

#freelancer

#editor

Reviu Buku : Chimera Naga Terakhir

Chimera Naga Terakhir

Penulis: Hasif Rayyan

Penerbit: Aye Chip Enterprise

296 halaman

Judul buku ini jelas, ia adalah karya genre fantasi. Hanya, apabila membacanya saya dapat melihat penulis muda yang juga seorang guru sains ini turut tidak melepaskan peluang menerapkan pengetahuan sains kepada pembaca di dalam penulisannya. Usaha yang baik.

Pada awalnya, saya mengikut siri ini melalui laman Instagram penulisnya. Perkongsian petikan-petikan perenggan di ruang kapsyen gambar cover buku yang dilakukan buat beberapa minggu itu berhasil menarik perhatian saya. Dari situ, saya tidak berfikir panjang apabila Hasif memaklumkan naskhah Chimera Naga Terakhir sedang dicetak.

Kali pertama membelek buku ini, saya terfikir-fikir mengapa nama ilustrator diletakkan di kulit buku. Barangkali, sebagai penghargaan kepada pelukis kulit buku itu sendiri, memandangkan penulis pernah terlibat dalam projek komik. Jangkaan saya meleset apabila melihat terdapat beberapa halaman ilustrasi watak dimuatkan di dalam buku ini, selain ruang pengenalan watak sebelum Bab 1. Bagus sekali! Ia membantu saya menggambarkan rupa watak sewaktu membaca. Oh ya, bercakap pasal lukisan, ada hadiah cantik juga buat tatapan pembaca di hujung-hujung halaman buku pasal anak naga ini.

Cerita untuk pembaca remaja ini menepati judulnya apabila ia memaparkan Long (anak naga yang diklonkan) sebagai watak utama. Karakter ini, seperti ilustrasinya mengingatkan saya kepada watak Chibisuke dalam anime Dragon Drive yang juga berevolusi mengikut suasana persekitaran dan watak tuan yang menjaganya. Anime yang saya tak jemu tonton berkali-kali sampai sekarang, haha!

Sesuai dengan sasaran pembaca, Zaqwan (watak remaja) juga dipaparkan sebagai watak penting yang menggerakkan cerita hingga akhir. Namun, usianya tidaklah dapat saya pastikan kerana tidak dinyatakan secara jelas oleh penulis. Saya mengandaikan Zaqwan dan sahabatnya Saiful berada pada usia awal remaja, sekitar 11-13 tahun berdasarkan sikap mereka yang ada masanya memberontak terhadap ibu bapa. Namun, kedua-dua remaja ini dilihatkan sebagai anak yang baik, penyayang dan menghormati orang tua apabila mereka cepat sedar dan meminta maaf setiap kali melakukan kesalahan.

Sepanjang pembacaan, saya tertarik dengan hubungan yang terjalin antara Zaqwan dan Long. Seperti budak yang menjaga haiwan peliharaan, Zaqwan tidak berhenti mempamerkan perhatian dan keprihatinannya kepada makhluk dari angkasa lepas itu. Penulis juga bijak menyelitkan banyak pesanan moral dan kasih sayang kepada pembaca melalui naratif dan dialog di antara kesemua watak di dalam cerita dan khususnya antara dua watak utama ini. Sekaligus, ia menjadikan naskhah ini sebagai karya yang bagus untuk bacaan kanak-kanak dan remaja.

Akhir sekali, saya suka cara cerita ini ditamatkan. Benar, hidup ini sentiasa mengenai pilihan. Seperti kata Charles R. Swindoll, “Life is 10% what happens to you and 90% how you react to it.”

Suka untuk saya menambah, kisah ini pasti akan lebih menarik apabila penulis bereksperimen lebih banyak dengan teknik olahan ayat. Selain itu, saya fikir jika watak Raion diberikan lebih banyak pendedahan, ada daya penarik yang lain untuk pembaca kerana dia diperihalkan sebagai bakal pengganti Raja Ergax. Mungkin, penulis ada cadangan untuk watak ini dalam naskhah yang lain.

Tahniah, Hasif Rayyan. Semoga terus menghasilkan karya yang baik dan sedap dibaca pada masa hadapan.